Kafein Yang Berlebihan Ketika Hamil Memudaratkan Kehamilan?



Buat yang menggemari kopi, sehari tidak minum minuman ini bagaikan tidak lengkap hari mereka. Haruman kopi sahaja sudah boleh 'menggoda' sesiapa sahaja. 

Malah, ianya lebih menyenangkan kerana dengan secangkir kopi mampu membuatkan mata hilang mengantuk dan cergas.

Namun, buat wanita hamil, adakah selamat untuk menikmati kopi bagi melengkapi hari mereka? Satu perkara yang sering menjadi tanda tanya buat bakal-bakal ibu dalam masyarakat kita hari ini.

Menjawab persoalan ini, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkongsikan megenai perihal ini menerusi laman Twitternya. 

Menurutnya, ibu mengandung perlu menghadkan pengambilan kafein dengan hanya 200 miligram setiap hari. Malah, dia turut mengingatkan kafein tidak semestinya ada dalam kopi sahaja, tapi turut ada dalam teh, coklat, minuman tenaga, minuman ringan bergas seperti cola dan dalam sesetengah ubat batuk dan selesema.


Foto sekadar hiasan

Tambahnya lagi, pengambilan kafein yang berlebihan ketika hamil boleh memudaratkan kehamilan seperti saiz bayi jadi kecil dan meningkatkan kemungkinan untuk gugur lebih-lebih lagi di awal kehamilan. 

Dr Izzat turut menasihati para ibu mengandung pada 12 minggu kehamilan untuk mengelakkan pengambilan kafein.

"Hadkan pengambilan kafein 200mg setiap hari jika ibu mengandung sememangnya rasa tidak boleh hidup tanpa kafein. Lebih baik gantikan dengan minuman jus buah-buahan atau segala minuman yang telah dinyah kaffein. Itu lebih baik. Jangan lupa kurangkan manis ya," tulisnya.

Jadi, buat ibu-ibu mengandung di luar sana, boleh ambil minuman berkafein tapi ada hadnya. Jika boleh elakkan, cubalah tidak mengambilnya demi kesihatan bayi dan ibu-ibu juga! 

Post a Comment

0 Comments